Oleh Elya Khalilah Ismail (Berita Harian)
BERAKHIRNYA program realiti sejak beberapa bulan lalu memperlihatkan seorang lagi bakat baru yang meningkat namanya dalam arena seni tanah air.
Dia yang dimaksudkan ialah Candra Clementi atau dikenali sebagai Candy, penyanyi yang dilahirkan dari program realiti Akademi Fantasia 5 (AF5).
Sebagai anak seni yang baru bertapak dalam industri hiburan, banyak pengalaman baru ditempa olehnya. Malah, sempena sambutan Aidilfitri baru-baru ini, Candy tidak melepaskan peluang untuk merasai pengalaman meraikannya apabila rela menghabiskan masa bersama-sama juara AF5, Mila di Pulau Pinang.
“Menyambut Aidilfitri di Pulau Pinang adalah pengalaman baru bagi diri saya. Tambahan lagi, tahun ini saya dapat peluang berkongsi pengalaman itu dengan Mila dan keluarganya di Pulau Pinang.
“Antara yang paling saya suka ialah dapat merasai pelbagai juadah yang hanya boleh ditemui pada Hari raya saja. Saya seronok berada di sana dan saya sukakan semua makanannya,” kata gadis berusia 18 tahun ini.
Walaupun beraya bersama, tetapi Candy tidak berpeluang untuk berkunjung ke rumah rakan-rakan AF yang lain kerana pulang untuk memenuhi persembahan nyanyian di Kuala Lumpur.
Berbalik kepada kerjaya seninya, Candy mempertaruhkan lagu ‘Demam’ yang kini sedang hangat diperdengarkan di corong radio.
Dia juga kini sedang giat belajar bermain gitar dan piano bagi mengembangkan lagi bakat seninya. Kini Candy hanya menumpukan sepenuh perhatian kepada karier seninya dan belum memikirkan soal cinta.
Selain memenuhi undangan nyanyian, bakat baru ini juga turut membabitkan diri dalam bidang lakonan Gadis bertubuh kecil molek ini akan membintangi filem khas untuk pelajar AF5 yang sepatutnya sudah memulakan penggambaran bulan ini.
Disebabkan hal tertentu, pihak Maestro terpaksa menundanya untuk seketika. Ditanya mengenai peranannya di dalam filem tersebut, Candy berkata dia masih kabur dengan watak yang bakal diberikan.
Mengenai cabaran yang bakal dihadapi oleh artis yang dicipta dari program realiti, Candy yakin dirinya akan berjaya ‘bernafas’ di dalam industri hiburan tanah air.
Belum ada sebarang komen.